Mungkin kita semua sudah mula lupa akan berita mengenai adik Sharlinie yang masih belum dapat dijumpai sehingga hari ini. Apabila membaca berita-berita di utusan online, masih terpapar lagi iklan mengenai pencarian adik Sharlinie dan kehilangannya yang kian dilupai itu boleh dikatakan menemui jalan buntu.
Sepertimana kes Nurin, risalah, makluman tentang kehilangannya disiarkan di pelbagai media cetak dan elektronik. Menyentuh kes Nurin, masyarakat pada masa itu berharap dan berdoa, adik Nurin dapat juga bersama keluarganya menyambut Ramadhan dan seterusnya berhari raya bersama-sama rakan dan taulan. Tetapi kesudahannya amat menyayat hati. Mayatnya ditemui di dalam sebuah beg sukan di dalam keadaan yang sukar digambarkan malah gambaran grafiknya boleh dibaca di dada akhbar-akhbar di Malaysia.
Kebanyakkan keluarga di Malaysia kini terutama ibu dan juga bapa bekerja untuk meneruskan kehidupan di ibukota. Ianya bukannya satu pilihan tetapi satu keperluan. Dengan harga barangan yang semakin meningkat tetapi gajinya tetap sama ataupun yang ironiknya apabila gaji dinaikkan, harga barangan naik dua kali ganda! Sungguhpun jika ibu tidak bekerja mana mungkin anak diawasi 24jam! Mengapakah terdapat sms yang menyalahkan ibubapa Nurin di atas kecuaian mereka? Tidak pernahkah mereka yang mengirimkan sms ini pernah meninggalkan anak-anak mereka selama dua minit misalnya. Di dalam masa dua saat pun anak-anak anda boleh hilang. Apakah perasaan anda apabila orang ramai menyalahkan diri anda? Tidak pernahkan anda meminta anak ke kedai dan anda menanti di dalam kereta? Tidak pernahkah anda terlambat mengambil anak-anak lewat dari sekolah kerana terpaksa menghadiri mesyuarat? Apa-apa boleh berlaku di dalam waktu itu bukan? Anak anda mungkin dijadikan tebusan di dalam kedai kerana perompak sudah sedia ada di dalamnya; orang gila mungkin mengambil anak anda bagi pihak anda dan sebagainya. Siapakah yang perlu disalahkan disini? Apa yang perlu kita fikirkan kembali ialah nilai-nilai murni masyarakat yang kian pupus tatkala kita sibuk mengejar wang untuk siapa? Bukankah untuk keluarga tetapi dalam kita menyara mereka mengapakah kita mengabaikan mereka?
Di manakah adik Sharlinie sekarang? Sama-sama kita doakan keselamatannya.
No comments:
Post a Comment